Saje-saje

Sunday, July 09, 2006

salam dan peluk....

Mencium tangan seseorang kerana sifat zuhud, warak dan takwanya, sifat salihnya, kerana tinggi ilmunya, iaitu ilmu agamanya juga yang berkaitannya, termasuk orang tua-tua yang dihormati seperti ibu bapa dan sebagainya. Adalah makruh mencium tangan seseorang semata-mata kerana pangkatnya, kebesaran yang dimiliki, kerana keturunan atau gelaran dan sifat-sifat seumpamanya.
Dalam sebuah hadis ada meriwayatkan mengenai rombongan Abdul Qayas berlumba-lumba turun daripada kenderaan masing-masing lalu mencium tangan kaki Nabi s.a.w.
Begitu juga halnya dengan amalan mencium anak sendiri atau anak saudara, anak teman atau lainnya di pipi dan lainnya kerana kasih sayang juga persaudaraan, tidak kira sama ada anak itu lelaki atau perempuan.
Walaupun demikian sekiranya ciuman itu disertai dengan rasa syahwat, maka hukumnya adalah haram, biarpun perlakuan itu berlaku di antara ayah terhadap anak kecil.
Abu Hurairah berkata, bahawa Nabi mencium Hasan bin Ali di mana ketika itu terdapat di sampingnya Al-Aqra bin Habis At-Tamimi. Al-Aqra berkata: Sesungguhnya aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi tidak ada seorang pun di antara mereka yang pernah kucium. Mendengarkan kata-katanya itu, Rasulullah memandangnya dengan rasa hairan lalu bersabda: Barang siapa yang tidak menyayangi dia tidak akan disayangi.
Satu rombongan orang Arab telah datang menemui Rasulullah. Mereka bertanya: Adakah kamu semua mencium anak-anak kamu?
Di antara mereka ada yang menjawab: Ya. Sebahagian daripada mereka menjawab, tetapi kami, demi Allah tidak pernah mencium mereka.
Mendengarkan kata-kata di antara mereka itu baginda Rasulullah bersabda: Adakah aku berupaya mencegah sekiranya Allah mencabut rahmat (kasih sayang-Nya daripada kamu sekalian.
Dalam sebuah hadis daripada Anas dinyatakan bahawa Rasulullah pernah mengambil anaknya yang bernama, Ibrahim lalu menciumnya.
Menurut keterangan sebuah hadis lain, hadis daripada Al-Barra’ bin Azib ia menyatakan bahawa dia pernah bersama Saidina Abu Bakar pada mula-mula ia datang ke Madinah dan berkunjung ke rumah Aisyah. Didapati bahawa Saidatina Aisyah kelihatan terbaring kerana diserang demam panas. Ia melihat Saidina Abu Bakar datang mendekatinya dan berkata: Bagaimana keadaanmu wahai anakku, sambil mencium pipinya.
Mencium wajah seorang teman yang baru balik daripada musafir adalah diharuskan. Begitu juga mencium muka orang soleh yang telah meninggal dunia.
Dalam sebuah hadis, daripada Aisyah yang menerangkan tentang kewafatan baginda Rasulullah, dia berkata, bahawa Saidina Abu Bakar telah datang mengunjungi baginda lalu membuka tutup muka daripada wajah Rasulullah kemudian dia merendahkan diri kepadanya lalu menciumnya kemudian menangis.
Hadis daripada Aisyah menyatakan bahawa Zaid bin Harith telah datang ke Madinah ketika Rasulullah berada di rumahnya ketika itu. Zaid telah datang menghampirinya lalu ia mengetuk pintu. Baginda berdiri menyambut kedatangannya sambil menarik kain bajunya. Zaid dipeluk dan diciumnya.
Makruh
Pelukan atau ciuman yang dilakukan selain kepada anak dan orang yang datang daripada musafir (berpergian jauh) atau pada orang yang telah lama tidak ditemui makruh hukumnya.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Turmuzi dan Ibn Majah daripada Anas ia berkata, bahawa ada seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Ya Rasulullah, andainya salah seorang daripada kami bertemu dengan saudara atau temannya, apakah dia harus membongkokkan badannya?
Nabi menjawab: Tidak.
Orang itu tidak bertanya lagi: Apakah dia perlu memeluk dan menciumnya?
Baginda menjawab: Tidak.
Orang itu bertanya lagi: Apakah dia perlu berjabat tangan?
Nabi menjawab: Ya.
Amalan berjabat tangan ketika bertemu adalah sunat. Dalam sebuah hadis daripada Qatadah, dia berkata: Aku telah bertanya kepada Anas: Adakah berjabat tangan itu pernah berlaku di kalangan sahabat Nabi. Ia menjawab: Ya.
Diriwayatkan juga dalam kitab Bukhari dan Muslim tentang hadis Kaab bin Malik yang menceritakan tentang taubatnya ia berkata: Maka Talhah bin Ubaidillah pun berdiri sambil berlari menuju kepadaku sehingga ia menjabat tanganku dan mengucapkan selamat kepadaku.
Dalam sebuah hadis lain, iaitu daripada Anas ia berkata: Tatkala penduduk Yemen datang, Rasulullah bersabda kepada mereka: Sesungguhnya telah datang kepada kamu sekalian penduduk Yemen dan mereka adalah orang yang pertama sekali yang datang dengan berjabat tangan.
Mengenai berjabat tangan ini, Rasulullah bersabda yang bermaksud: Tidak ada dua orang Islam yang bertemu kedua-duanya, lalu mereka berdua berjabat tangan melainkan keduanya diampuni dosanya sebelum mereka berpisah.
Rasulullah juga pernah berkata kepada Atha' bin Abdillah al-Khurasani: Berjabat tanganlah kamu sekalian, nescaya hilanglah rasa kebencian dan saling memberilah nescaya kamu saling cinta-mencintai dan hilang rasa permusuhan.
Berjabat tangan hendaklah dilakukan dalam keadaan bertentangan muka di antara kedua-dua orang yang terlibat, bukan dengan memalingkan muka ke arah lain secara sengaja, ataupun tidak sengaja, seperti sedang melayani orang yang ketiga atau lain-lain perlakuan yang menunjukkan tidak adanya prihatin terhadap pertemuan atau salaman yang dilakukan. Di samping itu, orang yang berkenaan hendaklah dalam keadaan muka berseri atau senyum untuk memperlihatkan keikhlasan dalam hati.
Dalam sebuah hadis daripada Abu Dzarr ia berkata bahawa Rasulullah ada bersabda kepadaku yang bermaksud: Jangan sekali-kali kau anggap ringan sesuatu kebaikan, biarpun hanya dengan melontarkan wajah yang manis kepada saudaramu.
Selain daripada keterangan di atas, baginda Rasulullah juga ada besabda seperti yang dijelaskan dalam sebuah hadis daripada Al-Barra’ bin Azib yang bermaksud: Sesungguhnya dua orang Islam itu apabila mereka bertemu, lalu berjabat tangan dan sama-sama tersenyum dengan rasa kasih dan ucapan nasihat, nescaya lepaslah kesalahan di antara mereka berdua.
Hadir daripada Anas daripada Nabi pula menyatakan bahawa baginda Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: Tidak ada dua orang hamba Allah yang bertemu kerana Allah, lalu datang salah seorang daripada mereka kepada temannya, maka dia menjabat tangan temannya. Keduanya mengucapkan selawat kepada Nabi melainkan tidak berpisah keduanya sehinggalah dosa mereka berdua diampuni Allah, baik yang telah lalu ataupun yang akan datang.
Anas juga berkata bahawa Rasulullah tidak menjabat tangan seseorang dan berpisah daripada sisinya sehinggalah beliau membaca: Allahumma atina fi'd-dunya hasanatan, wafi 'l-akhirati hasanah, wa qina azaba'nar (Ya Allah, berilah kepada kami kebajikan dunia dan kebaikan di akhirat, serta peliharalah kami daripada seksa neraka).

0 Comments:

Post a Comment

<< Home